PERCUTIAN KE PULAU LANGKAWI
Pulau Langkawi merupakan antara tempat menarik tarikan para
pelancong yang popular di Malaysia. Ramai pelancong dari luar negara telah
memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka. Pulau Langkawi atau
juga dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah merupakan sebuah pulau bebas cukai
dan sebuah kepulauan yang terdiri daripada 99 pulau dengan Kuah sebagai bandar
terbesarnya. Para pelancong boleh berkunjung ke Langkawi dengan menaiki dengan
pelbagai jenis pengangkutan sama ada pengangkutan laut ataupun pengangkutan
udara.
Disini saya ingin menceritakan sedikit sebanyak tentang
pengalaman saya bercuti ke Pulau Langkawi. Saya telah berkunjung ke Pulau
Langkawi pada cuti Deepavali. Para pelancong dari dalam dan luar negara tidak
melepaskan peluang untuk bercuti ke Pulau Langkawi sehingga menjadikan kesemua
tiket feri ke Pulau Langkawi telah habis terjual. Oleh kerana, pada awalnya saya
tidak merancang untuk ke Pulau Langkawi, saya tidak membeli tiket feri terlebih
awal. Mujurlah untuk pergi ke Langkawi turut disediakan feri RORO iaitu
feri yang membawa pengangkutan seperti bas, kereta dan motorsikal.
Sesampainya saya di Pulau Langkawi, saya dan keluarga
segera menyewa sebuah kenderaan untuk digunakan di pulau tersebut. Destinasi pertama
yang kami kunjungi adalah Kereta Kabel Langkawi yang terletak di Gunung Mat
Chinchang. Kereta kabel tersebut akan membawa kita ke puncak gunung yang
tertinggi di Langkawi setinggi 713 meter dan sepanjang perjalanan ke puncak
gunung tersebut kita dapat melihat seluas pemandangan Pulau Langkawi dengan
gugusan pulaunya yang banyak serta Air Terjun Telaga Tujuh. Setelah sampai ke
puncak Gunung Mat Chinchang, pelancong boleh melintasi gunung tersebut dengan
menyeberangi Jambatan Langit Langkawi.
Destinasi seterusnya yang saya kunjungi pada waktu
malam ialah Pantai Chenang. Pantai Chenang merupakan pantai yang terkenal di
Langkawi. Pada siang hari, kita dapat melihat keindahan pantai tersebut dengan
pasirnya yang putih dan airnya yang jernih. Namun begitu, Pantai Chenang ini
turut meriah pada waktu malam dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh para
pelancong serta pada setiap malam akan diadakan pertunjukan api di tepi pantai tersebut.
Pertunjukan api tersebut telah dipersembahkan oleh mereka yang pakar.
Pada keesokan harinya, saya dan keluarga telah
berkunjung ke Kompleks Mahsuri. Kompleks Mahsuri merupakan tempat di mana ikon
lagenda Langkawi iaitu Mahsuri telah dikebumikan. Makam Mahsuri telah dibina semula
dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan rumah Kedah dan dikatakan
dibina di bekas tapak rumah Mahsuri. Sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri
turut terdapat dalam kompleks tersebut. Selepas itu, lokasi terakhir
yang saya kunjungi ialah Dataran Lang, Kuah untuk melihat dan bergambar di replika
burung helang yang merupakan mercu tanda Pulau Langkawi.
Ulasan
Catat Ulasan